Thursday, April 12, 2012

Pemansuhan PTPTN: Realiti Atau Angan-Angan

Selasa lalu, saya menghadiri satu program bertajuk 'Rundingcara PTPTN dan Masa Depan Pembiayaan Pendidikan Tinggi' yang bertempat di Quality Hotel Shah Alam. Panelis utamanya adalah Rafizi Ramli dan diselang-selikan oleh saudara Gobikrishnan.

Saya tidak berminat untuk terlalu mengulas tentang perkara ini kerana Rafizi telah menulis panjang lebar dalam blog beliau tentang perkara ini. Di sini beliau menghujahkan secara panjang lebar dalam bentuk artikel. Bagi yang kurang berminat untuk membaca, di sini ada disertakan program tersebut dalam bentuk video. Sila tonton dan nilaikan sendiri.

Pada peringkat awal, sewaktu saya mendengar cadangan tentang penghapusan PTPTN ini, saya tidak bersetuju. Saya merasakan bahawa tindakan 'membersihkan' hutang adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab. Bila seseorang menandatangani perjanjian pinjaman, adalah menjadi kewajipan beliau untuk menyelesaikannya.

Saya adalah seorang penerima biasiswa JPA yang tidak diambil bekerja oleh kerajaan. Apa perlunya untuk saya menghadiri program sebegini? Rasanya ada beribu-ribu mahasiswa di luar sana yang tidak bersetuju dengan pemansuhan PTPTN ini. Kenapa saya yang tidak ada kaitan dengan PTPTN mahu menyibuk?

Isu pemansuhan PTPTN ini telah mengakibatkan kerajaan yang menguasai media perdana sedikit tersentak. Maka keluarlah 1001 macam kenyataan yang berbunyi kurang cerdik dan memperbodohkan. Syukurlah, respons mereka terhadap isu pemansuhan PTPTN ini menjadi mereka terlupa sejenak tentang isu dalam seluar Anwar Ibrahim.

Mahu lihat sendiri contoh kenyataan bebal lagi membebalkan yang menjadi respons pemimpin tertinggi negara? Perhatikan gambar berikut.


Memalukan bukan?

Atas keprihatinan untuk memastikan bahawa rakyat jelata dan pembaca blog ini tidak tertipu dengan janji bulan dan bintang pembangkang, masa saya merajinkan diri untuk menjenguk program sebegini supaya ada modal untuk saya kutuk pembangkang di Malaysia pada hari ini.

Malangnya, niat suci murni saya untuk menyedarkan masyarakat di Malaysia tentang janji-janji pembangkang ini tidak menjadi kenyataan. Sesampainya Rafizi ke Quality Hotel, beliau terus menghampiri saya dan seorang sahabat lagi dengan muka penuh yakin dan mengungkapkan bahawa cadangan memansuhkan PTPTN ini bukan sekadar omongan kosong.

Saya kenal Rafizi secara peribadi dan terus terang saya katakan bahawa beliau bukan seorang politikus tipikal. Bagi yang tidak mengenali Rafizi, mungkin anda kurang menggunakan sepenuhnya fasiliti Internet yang ada di Malaysia. Pergilah ke laman web beliau dan perhatikanlah senarai syarikat yang pernah beliau kendalikan bajet tahunannya. Kalau beliau ini anda tidak percaya, saya tidak tahulah siapa lagi yang boleh anda percaya.

Secara peribadinya, apa pendapat saya?

Pada saya, pendidikan peringkat tinggi percuma di Malaysia adalah suatu perkara yang kita mampu untuk lakukan.

Seorang penulis di FMT cuba untuk membidas hujah Rafizi, malangnya beliau tidak membidasnya dengan angka mahupun fakta. Hanya menggunakan analogi dan juga contoh UNISEL di negeri Selangor yang secara teknikalnya saya rasakan tidak tepat. 

Rafizi mengakui bahawa kerajaan negeri bukan pihak terbaik untuk memberi pendidikan. UNISEL adalah satu cara politikus di zaman Khir Toyo membuat duit dengan cara mengagihkan kontrak dan tender. Perhatikanlah apa yang terjadi pada hari ini di UNISEL. Semua itu adalah kesan dari pendidikan yang diperniagakan.

Di lubuk hati saya, saya adalah seorang sosialis. Pendidikan adalah keperluan asas dan saya yakin Malaysia berkemampuan untuk memberikan pendidikan tertier secara percuma.

Kalau ada yang berminat untuk berbincang, mungkin boleh diperbahaskan di ruangan komen. Atau mungkin saya akan mengulas tentangnya di tulisan yang akan datang.

No comments:

Post a Comment