Saturday, February 25, 2012

Zakat Dan Cukai: Mana Lebih Islamik?

Pagi tadi sambil-sambil menyiapkan kerja pejabat, saya tertarik dengan beberapa isu yang sempat saya baca melalui laman sosial. Bagaimanapun, isu tentang zakat pendapatan telah pun disebut oleh beberapa orang sahabat Twitter saya yang menghadiri kelas Perancang Kewangan Islam.

Berdasarkan pemahaman saya yang cetek tentang isu zakat pendapatan dan cukai pendapatan ini, beberapa rumusan boleh saya buat. Salah satu daripadanya adalah saya merasakan bahawa cukai pendapatan itu lebih Islamik berbanding zakat pendapatan.

Sebelum ada yang hendak menuduh saya kafir dan menyuruh saya bertaubat, apa kata kita habiskan dahulu perbincangan ini?

Pertama sekali, sepengetahuan saya, zakat pendapatan dari sumber gaji tidak mempunyai nas dalam Qur'an dan hadis yang memfardhukannya sebagai wajib. Zakat ternakan ada nas, zakat tanaman ada nas, zakat hasil perniagaan ada nas, bahkan zakat emas yang tersimpan juga ada nasnya. Tapi zakat dari hasil gaji (setahu saya) tidak mempunyai nas yang sahih. Ini berdasarkan apa yang saya tahu. Kalau pengetahuan saya ini tersasar dari kebenaran, sila betulkan.

Keduanya, dari sudut jumlah yang dicukai/dizakat. Zakat pendapatan mengambil angka yang tetap, iaitu 2.5% dari jumlah gaji kasar anda. Cukai pendapatan pula diambil dari jumlah gaji bersih anda setelah ditolak komitmen (keluarga, pelajaran, komputer etc) yang ada. Saya tidak menafikan bahawa zakat juga mengambil kira komitmen, tapi dalam banyak keadaan orang lebih senang untuk mengambil 2.5% itu dan didarabkan dengan jumlah gaji kasar.

Bayangkan situasi saya. Saya sedang menyambung pelajaran di peringkat Sarjana. Yuran pengajian sekitar RM10 ribu setahun. Setiap bulan saya perlu 'berjimat' sekitar 800-900 untuk memastikan yuran pengajian saya tidak terkandas bayar.

Dari perspektif cukai, saya terkecuali dari membayar cukai untuk sepanjang tahun. Kalaupun majikan saya membuat Potongan Cukai Berjadual (PCB), setiap tahun saya masih berhak untuk mendapat bayaran balik.

Dari perspektif zakat pula bagaimana? Sepengetahuan saya, zakat saya wajib dibayar tanpa culas. Lagipun, siapa yang suruh saya sambung belajar kan? Tidak ada beban, biawak hidup sengaja didukung. ;)

Ketiganya, mari kita perhatikan siapakah yang berhak mendapat manfaat dari cukai yang kita bayar itu?

Cukai pendapatan memastikan bahawa wang itu akan disalurkan kembali kepada negara. Negara akan berbelanja wang saya itu dengan berhemah (harap-harapnya) dan disalurkan kepada rakyat terbanyak tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik (secara teorinya) mereka. Tidakkah itu Islamik bila yang susah mendapat bantuan tanpa diskriminasi?

Dari sudut zakat pendapatan pula bagaimana?

Berdasarkan kefahaman Islam versi Malaysia, wang zakat hanyalah untuk orang Islam sahaja. Ini bererti, orang bukan Islam tidak berhak mendapat walau sesen pun manfaat dari wang zakat tersebut. Saya tidak menafikan ada kes orang bukan Islam (dan orang-orang kaya seperti Dato' Seri Jamil Khir Baharom) yang mendapat manfaat dari wang zakat, tapi itu kes terpencil dan bukannya suatu peraturan am. Hal ini mengimplikasikan bahawa zakat di Malaysia adalah satu bentuk diskriminasi tersusun kepada orang yang berlainan akidah dengan kita.

Tiga hujah di atas menjadi sebab kenapa saya berpendapat bahawa dalam konteks di Malaysia, cukai pendapatan adalah lebih Islamik berbanding zakat pendapatan. Anda tidak bersetuju? Sila tinggalkan komen dan kita boleh berbincang panjang lebar tentang perkara ini.

Harus diperingatkan bahawa tulisan ini tidak mengambil kira kalau ustaz di pusat zakat songlap duit zakat anda atau wang cukai anda digunakan oleh Wanita Pertama Malaysia untuk membeli beg tangan Birkin yang baru.

1 comment:

  1. Salam..
    Actually saya bersetuju dgn hujah2 anda. Cuma cuba ada lihat dari perspektif lain iaitu yg memberi anda keuntungan juga.

    Seperti yg anda ketahui, zakat pendapatan selain membuat potongan terhadap diri dan keluarga anda, zakat juga mengambil kira potongan haji dan juga pemberian kpd ibu bapa. Dan dalam cukai pendapatan terdapat potongan untuk zakat. Ini bermakna dengan zakat, anda dapat mengurangkan cukai pendapatan anda dan memberi keuntungan kepada anda dan family anda selain sedikit sebanyak menjamin anda utk mengerjakan ibadah haji. Dalam cukai pendapat juga ada potongan utk diri anda dan family anda, jadi boleh boleh saya katakan anda dapat dua kali potongan iaitu dalam potongan zakat dan juga cukai pendapatan. Kepada siapa harus kita lebih utama memberi nafkah? Tentulah kepada keluarga kita sendiri.

    Zakat juga membantu org Islam yg tidak bernasib baik seperti kita. Jikalau umat Islam sendiri tidak membantu sesama kita, siapakah yg akan membantu mereka? Org bukan Islam tidak terikat kpd undang2 Islam di mana mereka boleh mendapat income dgn cara yg tidak halal dari segi Islam tetapi tidak dari segi undang2 negara seperti riba, berjudi dan sebagainya. Jadi zakat yg diberi kpd umat Islam diharapkan dapat membangunkan ekonomi umat Islam sendiri.

    So maybe hujah saya lari dari topik perbincangan anda tetapi seperti saya katakan dari, lihat dari segi perspektif yg beri keuntungan kpd anda dan family. Juga kalau ikut dari segi kepercayaan, adakah anda lebih percaya duit anda diberikan kepada agensi yg lebih Islamik seperti PPZ atau kepada agensi biasa LHDN?

    Tq

    ReplyDelete