Saturday, March 19, 2011

Forum Frinjan: Ada Apa Dengan Cinta

Tarikh: 18 Mac 2011
Masa: 8-10 malam
Tempat: Kelab 50B, Jalan Kemuja, Bangsar
Panelis: Fynn Jamal, Firdaus Zolkifli & Aishah Nur Hakim
Moderator: Nazri "Vovinski" Anuar

Malam tadi, bertempat di lokasi di atas, anjuran Frinjan dan Distro Buku dengan kerjasama Kelab 50-B sebagai tuan rumah telah mengadakan satu sesi forum santai berkenaan dengan topik 'Cinta'.

Terlebih dahulu, saya berasa perlu (dan wajib) untuk meminta maaf sekiranya ulasan ini bakal melukakan hati mana-mana pihak. Saya tidak apologetik dengan pandangan ini kerana apa yang tertulis di sini adalah pandangan peribadi saya dan semua orang berhak untuk tidak bersetuju dengan apa yang saya perkatakan.

Dari segi audien, kehadiran ke program ini adalah sangat memuaskan. Jumlah kehadiran seperti yang saya baca di Twitter Kelab 50-B adalah melebihi 80 orang. Semoga kehadiran yang ramai ini dapat membantu memenuhkan kantung Kelab 50-B bagi membolehkan mereka terus beraktivis dan menyalurkan idea ke seantero alam. Selaku salah seorang penyokong Kelab 50-B, saya mengajak pembaca sekalian untuk hadir memeriahkan inisiatif Kelab 50-B yang bakal diadakan pada masa-masa yang akan datang.

Kehadiran yang seramai ini adalah jauh berbeza kalau mahu dibandingkan dengan program bedah buku memoir Tun Mahathir yang diadakan beberapa hari sebelumnya. Program bedah buku sebelumnya hanya dapat mengumpulkan lebih kurang 20 orang sahaja. Mungkin perbezaan dalam pola jumlah kehadiran ini mengesahkan 'teori' saya bahawa anak muda di Malaysia lebih menggemari perkara yang ada kaitan dengan seks, bolasepak, hiburan dan cinta berbanding dengan perkara yang lebih 'serius' seperti agama, politik, ekonomi dan hal ehwal semasa.

Secara peribadinya, saya seronok untuk berada dalam khalayak anak-anak muda sebegini atas beberapa sebab. Pertama sekali, agar saya tidak terasa semakin tua. Kedua, saya agak kurang 'mengasah' kemahiran manusiawi saya. Jadi peluang sebegini tidak seharusnya saya lepaskan. Sebab ketiga, saya mahu rakan-rakan saya di Kelab 50-B tahu bahawa inilah cara saya untuk memberikan sokongan kepada inisiatif mereka.

Secara tulusnya, sebaik program ini tamat, saya begitu ghairah untuk menulis ulasan tentangnya. Malangnya, draf panjang lebar yang saya taip dalam komputer riba saya telah hilang kerana kabel bekalan kuasa yang tercabut dan bateri komputer riba saya ketika itu sudah sifar kuasanya. Oleh itu, sebarang fakta yang saya terlepas pandang harapnya dapat dimaafkan.

Tambahan pula, ketika saya sedang gigih mahu menulis semula draf ulasan ini, rakan-rakan mengajak saya menjamu selera di Restoran Ayam Golek 5 Bintang di Kerinchi. Seperti yang kita sedia maklum (atau jika ada yang belum maklum), kekuatan memori manusia adalah berkadar songsang dengan masa. Semakin panjang minit yang diambil untuk saya membaham ayam golek yang kurang enak itu, semakin banyaklah fakta penting dalam program ini yang saya terlupa.

Oh ya, di mana kita tadi?

Saya dapat tempat duduk yang agak baik, walaupun boleh lebih baik dari itu (demand). Dapat bersandar ke dinding walaupun di penghujung acara telah mengalami sakit belakang, sakit bontot dan kebas-kebas kaki yang kronik. Kendatipun sedemikian, saya hanya sempat untuk mengambil satu gambar. Kepada sahabat Frinjan, Distro Buku dan Kelab 50-B yang ada gambar lebih banyak, sila letakkan pautan gambar itu di ruangan komen. Terima kasih didahulukan atas sumbangan anda.

Dari kiri: Mesin Cetak (Firdaus), Fynn Jamal dan Aishah Nur Hakim
Wacana dimulakan dengan perkara yang paling asas dalam sesebuah forum, iaitu definisi 'cinta'. Rata-rata panelis memberikan definisi yang agak klise dan boleh dijangka oleh saya. Ada yang berkata cinta itu tiada definisi khusus, cinta itu segalanya, cinta itu magnitudnya berubah mengikut usia dan sebagainya. Bagaimanapun, sesi pengenalan definisi ini sebenarnya sudahpun memberikan gambaran kepada saya tentang perjalanan forum ini seterusnya, yang terbukti akhirnya bahawa telahan saya ini benar.

Selain itu, antara topik yang diperbincangkan adalah tentang cinta dan tragedi, bagaimana jika cinta tidak mendapat restu ibu bapa, pengalaman masing-masing dalam cinta, sekadar menyebut beberapa topik perbincangan.

Saya tertarik untuk mengupas tentang isu cinta tanpa restu ini. Dua panelis malam tadi, Mesin Cetak dan Fynn Jamal memberikan dua kutub pandangan yang menarik untuk difikirkan. Mesin Cetak menyatakan bahawa ibu bapa merupakan pembuka jalan, dan bukannya penentu jalan. Fynn Jamal yang dari segi kematangan (dan pengalaman cintanya) jauh terkehadapan berbanding Mesin Cetak pula menyatakan bahawa restu dari ibu bapa adalah penting sebagai pelengkap kepada kesempurnaan sesebuah cinta. Sempat juga beliau melontarkan beberapa (banyak!) pengalaman beliau dalam isu cinta dan restu ibu bapa ini.

Sahabat yang bersila di sebelah saya telah melontarkan satu persoalan yang menarik. Beliau menanyakan bagaimana untuk menjadi seorang lelaki yang menarik. Saya kira jawapan kepada soalan ini juga telahpun saya pra-fikirkan, tapi cara panelis wanita memberikan kupasan dan contoh juga penting untuk kita sama-sama hadamkan.

Aishah memberikan satu contoh yang mudah. Beliau suka makan tomyam dan beliau berdepan satu masalah. Beliau berdepan dengan perkara yang leceh, iaitu untuk kupas kulit udang. Beliau amat berharap agar ada lelaki di dunia ini yang sudi kupaskan untuk beliau agar beliau tidak perlu kotorkan tangan ketika makan. Oh ya, dulu pun saya ada masalah tu. Tapi sekarang ini saya makan udang sekali dengan kulitnya. ;)

Idea beliau ini disambut dengan usikan nakal (tapi tidak berbahaya) oleh audien lelaki. Bahkan usikan ini turut disampuk oleh saudara Mesin Cetak yang khabarnya mahu belajar kupas kulit udang lepas ni.

Selain itu juga, mereka mengetengahkan idea tentang bagaimana sifat dan perlakuan ibu bapa seseorang mempengaruhi lelaki yang bakal mereka idamkan. Hal ini tidaklah mengejutkan kerana bagi sesiapa yang mempelajari psikologi (saya mengambil minor psikologi ketika di universiti) pastilah mereka ada mendengar tentang Oedipus dan Electra Complex. Malah di dalam sebuah siri TV yang saya pernah tonton (saya terlupa samada 'House', 'The Big Bang Theory' atau 'Lie To Me'), salah satu watak utama di dalam itu menyatakan bahawa jika watak lain mahu melakukan seks dengan wanita idamannnya, dia perlu tahu pewangi apakah yang dipakai oleh bapa wanita tersebut. Idea ini adalah idea buku teks psikologi.

Selain itu, saya terdengar kenyataan bahawa lelaki yang gagah di mata wanita adalah lelaki yang mudah menitiskan air matanya. Saya terpaksa mengakui bahawa saya adalah lelaki jenis itu (walaupun saya tak terdesak untuk kelihatan menarik di mata wanita ;p).

Kecenderungan wanita untuk hidup dalam dunia fantasi juga turut disentuh oleh Fynn Jamal. Dalam hal ini, saya rasakan bahawa apa yang beliau perkatakan itu ada kebenarannya, terutamanya bagi kaum wanita (dan lelaki tak cool) yang menonton drama Korea. Drama Korea bijak membuai fantasi wanita hinggakan mereka mahu lelaki itu melakukan perkara romantik seperti yang dia tengok dalam drama Korea, dan bukan sebab lelaki itu memang romantik.

Oh ya, saya perlu terus terang di sini bahawa orang yang menonton drama Korea adalah sangat tidak cool, tak kira lelaki mahupun wanita. Jangan marah ye wahai peminat drama Korea...

Berikut adalah komen (kritikan?) saya kepada panelis.

Bagi saya, panelis yang paling berjaya menangkap imaginasi khalayak adalah Fynn Jamal. Kisah-kisah dan pengalaman beliau sememangnya boleh dijadikan pengajaran berguna. Ada beberapa kali juga beliau buat saya berasa tersentuh hati dan terasa mahu menangis (gagah tak saya?). Saya fikir itu amat bersesuaian dengan kematangan usia dan pengalaman beliau. Mungkin beliau boleh jadi Oprah Malaysia kot.

Saya mengenali Mesin Cetak sebagai seorang yang agak condong ke arah sosialisme. Saya kenal ramai golongan sosialisme jadi-jadian dan saya yakin beliau bukan golongan poser sebegitu. Sebelum forum ini bermula, saya meletakkan jangkauan yang agak tinggi kepada beliau. Tambahan pula, beliau kelihatan agak bersemangat untuk memulakan forum dan ketika jam pukul 8.30 malam, beliau ada memberi isyarat kepada saya bahawa program ini 'lambat'.

Namun demikian, secara ikhlas dan tanpa prejudis, saya terpaksa katakan bahawa beliau agak tidak berjaya untuk mencapai tahap seperti yang saya harapkan. Kalaupun tidak sehebat Eddin Khoo tiga hari lepas, setidaknya saya harap beliau mampu untuk memberikan pencerahan baru kepada saya, malangnya itu tidak berlaku.

Cubaan beliau untuk bermain dengan madah-madah Khalil Ghibran dan Chairil Anwar mengakibatkan beberapa hujah beliau dilihat sebagai keluar dari soalan moderator. Analoginya adalah beliau seperti Nietzsche yang bercakap di hadapan beruk-beruk, Dan saya terpaksa mengaku saya salah satu dari 'beruk' yang gagal menggapai halatuju ucapan beliau.

Bagaimanapun (pujuk balik) beliau tidaklah sepenuhnya gagal. Beberapa konsep yang beliau bawakan seperti pengaruh kapitalisme dalam cinta dan cinta adalah hubungan setaraf antara dua entiti merupakan antara perkara menarik yang saya suka untuk fikirkan. Beliau menyentuh tentang romantika hari ini yang lebih cenderung kepada simbol (coklat, bunga dan sebagainya) berbanding cenderung kepada makna cinta itu sendiri. Dari sudut ini, saya ucapkan tahniah kepada beliau.

Panelis yang ketiga iaitu Aishah, saya tidak dapat memberikan pandangan yang menyeluruh kerana saya kurang memberi perhatian kepada ucapan beliau. Mungkin kerana suara beliau yang kurang jelas.

Kepada penganjur, adalah diharapkan pada masa-masa akan datang supaya memberi lebih perhatian kepada faktor pengurusan masa kerana program hari ini berlangsung lebih lewat dari yang dijadualkan.

Kehadiran audien yang baik ini juga harus dikekalkan atau ditingkatkan untuk masa-masa akan datang. Untuk penuhkan tabung korang juga kan? Hehe... Oh ya, lupa nak tambah. Bunga-bunga di taman pun banyak juga yang datang. :p

Adakah saya rasa kehadiran saya ini membuang masa? Tidak sama sekali. Dalam karier profesional saya, saya sudah terlalu banyak berhadapan dengan mesin (komputer) berbanding manusia. Jadi saya fikirkan peluang sebeginilah yang terbaik untuk saya memanusiakan diri.

Namun saya rasa program ini bukanlah yang terbaik berlaku pada saya hari ini. Apa yang terbaik? Gambar di bawah dan juga ayam golek lima bintang.

Takziah Carragher!
Nota kaki: Anda dialu-alukan untuk berkongsi artikel ini di mana-mana dengan syarat hendaklah dipautkan kembali ke blog ini.

No comments:

Post a Comment