Thursday, January 30, 2014

Pilihanraya Kecil DUN Kajang

Dah lama tak menulis. Malas. Lebih suka berangan.

Okay. Sekian fasa memberi alasan. Sekarang fasa untuk memberi penjelasan.

Saya baru balik dari satu perjumpaan dengan seseorang. Seseorang yang terlibat secara langsung dalam perancangan untuk membuka jalan ke arah terjadinya "Kajang Move" (memetik nama yang diberikan oleh Rafizi dalam blog beliau). 

Tulisan ini ditulis berdasarkan penerangan beliau. Anggapan saya, semua penjelasan yang diberikan oleh beliau adalah benar kerana saya secara peribadinya mempercayai beliau.

Ada dua sebab utama kenapa tindakan ini diambil. Pertama, isu pergeseran Azmin dengan Khalid Ibrahim. Kedua, kerana serangan terbaru dari pembangkang di Selangor terhadap kerajaan negeri Selangor sekarang.

Isu Khalid Ibrahim dengan Azmin, saya percaya banyak pembaca blog ini sudah tahu. Usaha demi usaha diambil untuk mendamaikan kedua dua mereka, tapi usaha tersebut tidak berjaya. Jalan terbaik adalah dengan meletakkan Anwar di kerusi DUN Selangor.

Isu kedua, kerana serangan demi serangan yang berlaku ke atas negeri Selangor.

Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pimpinan negeri Selangor pada tahun 2008, media perdana di bawah kawalan UMNO-BN gigih memainkan berita kononnya negeri akan bankrap selepas 10 hari PR memerintah. Alhamdulillah, sehingga tarikh artikel ini ditulis, Selangor masih lagi belum bankrap.

Menyedari bahawa serangan dalam bentuk ekonomi tidak akan berjaya memenangkan UMNO-BN semula di Selangor, mereka mengambil tindakan lain pula, contohnya seperti menyusahkan warga Selangor dengan krisis air. Kesannya, jumlah kerusi UMNO-BN dalam DUN Selangor semakin mengecut sehingga membolehkan PR Selangor mendapat 2/3 majoriti.

Noh Omar terdiam, Najib tertewas.

Selepas kekalahan pada PRU tahun 2013, kaedah serangan diubah. Isu perkauman dan agama dimainkan. Injil berbahasa Melayu dirampas. Berlaku serangan ke atas rumah ibadat. Isu ketuanan Melayu dibangkitkan semula.

MB Selangor yang sedia ada (dikatakan) tidak mempunyai keupayaan untuk berdepan dengan isu perkauman dan agama ini kerana beliau merupakan orang ekonomi. Dalam situasi yang sedia ada, Anwar dilihat sebagai pilihan terbaik untuk mendepani persoalan tersebut. 

Benar atau salah, kita tidak pasti tapi kita sedia menyedari (secara rela atau tidak) bahawa permasalahan kaum dan agama begini memerlukan seorang yang mempunyai ciri ciri negawaran. Maka, Anwar Ibrahim dilihat sebagai penyelesaian.

Ada yang menimbulkan persoalan, mengapa tidak Rafizi Ramli dicalonkan untuk kerusi tersebut? Jawapan yang diberikan ada dua.

Pertama, Rafizi adalah orang ekonomi. Mungkin beliau punya elemen kemanusiaan lebih tinggi dari Khalid Ibrahim, tetapi beliau tetap orang ekonomi. Cara beliau berdepan dengan isu perkauman dan agama akan menjurus kepada pertimbangan dari sudut angka dan statistik juga.

Kedua, Rafizi adalah pengarah strategi parti. Meletakkan beliau sebagai calon MB mengundang risiko dari segi tumpuan dan masa beliau yang lebih baik jika digunakan untuk mengatur strategi parti di peringkat nasional.

Persoalan lain, adakah Anwar bakal menjadi MB Selangor? Jawapan yang diterima adalah, perkara itu masih terlalu pra-matang untuk dibincangkan. Tujuan Keadilan meletakkan Anwar sebagai ADUN di Selangor adalah untuk memberikan lebih pilihan kepada parti sekiranya ada berlaku sesuatu yang tidak diduga.

Secara peribadi, saya merasakan bahawa Anwar diletakkan di Kajang untuk menjadi calon MB.

Selesai perjumpaan tersebut, apakah pandangan saya tentang strategi ini? Saya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan melihat kepada permasalahan yang timbul dan penyelesaian yang diberikan.

Isu kos? Kos mengadakan pilihanraya adalah satu 'pembaziran' (kalau boleh dikatakan membazir) yang mesti (necessary evil). Saya lebih selesa jika parti politik memulangkan mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan berbanding kalau main langgar tembok sesuka hati. 

Harus diingat, ini bukan kali pertama pilihanraya kecil diadakan demi untuk menukar MB baru. Sebelum ini sudahpun terjadi di Selangor, Kelantan, Terenganu dan Sabah (atau Sarawak, saya tidak pasti).

Anda pengundi Kajang yang rasa membazir dan marah dengan tindakan Keadilan ini? Gunakan hak anda sebagai pengundi untuk membuat pilihan yang bijak.

Hmmm... Apa lagi yang perlu ditulis eh?

Pandangan terakhir saya secara peribadi tentang keseluruhan isu ini. Saya melihat perkara ini secara objektif. 

Selama ini Anwar menjanjikan itu dan ini di Selangor, tapi beliau tidak dapat mencapai hasrat tersebut kerana tangan beliau terikat. Beliau hanya seorang ahli parlimen dan ketua pembangkang. Jawatan ketua pembangkang itu juga tidak membawa apa apa kesan secara rasmi, kecuali bilik khas di parlimen dan elaun pembantu khas.

Kini kita sudah ada peluang untuk berpegang kepada kata kata beliau secara rasmi. 

Saya mengaku, pada awalnya saya melihat isu ini bakal makan diri. Tapi selesai penjelasan dari individu tersebut, saya berpuas hati dan melihat bahawa kekosongan kerusi tersebut tidakpun memberi kesan besar dalam kehidupan masyarakat di Kajang secara khasnya dan di Malaysia secara amnya.

Adakah kekosongan kerusi tersebut meningkatkan kadar jenayah atau meningkatkan kos sara hidup di Malaysia? Rasa rasanya tidak.

Kenapa saya perlu marah bila ahli politik memulangkan kuasa demokrasi kepada rakyat untuk memilih?

Saya mungkin sedikit terkilan dan marah dengan keputusan ahli politik sebegini, tapi masih lagi cukup waras untuk tidak memilih pihak yang satu lagi.

"Kalau ISMA bertanding camne? Nak sokong ISMA?"

"Tak. Saya belum gila lagi."

Monday, July 15, 2013

Agama Melayu

Salam Ramadhan.

Lama dah tak menulis. Bukan sibuk. Bukan juga banyak kerja. Tapi malas. Dan terlupa bahawa saya ada blog.

Ramadhan ni bulan kemuliaan. Bulan yang saya sangat suka. Suka sebab tak perlu nak makan waktu tengahari. Boleh balik dari pejabat lebih awal berbanding hari hari biasa. Suka sebab berpeluang untuk bangun awal dan bergerak awal ke tempat kerja. Kalau mahu la.

Bagaimanapun, datangnya bulan mulia tu tidak mengundang kemuliaan dan kebaikan semata mata. Mari kita jenguk sisi gelap Ramadhan.

Pertama sekali, Ramadhan menjadikan jalan sesak. Bagaimana? Saya pun tak pasti. Tapi besar kemungkinan jalan sesak sebab ada beruk, ungka dan khinzir yang double/triple parking untuk membeli belah di pasar Ramadhan.

Dari segi ibadatnya, kalau kita solat dengan menghalang laluan orang lain, solat yang pada asalnya wajib dan mendatangkan pahala itu telahpun berubah sifat menjadi sesuatu yang mendatangkan dosa dan kezaliman pada orang lain.

Kedua, masjid yang selama ini lapang pada waktu solat Jumaat secara tiba tiba menjadi sesak. Kalau masjid sesak waktu solat Isyak dan terawih tu, kita faham la sebab Ramadhan. Tapi yang hari Jumaat tu tiba tiba menjadi sesak kenapa? Mana perginya mereka semua tu pada 11 bulan yang lain?

Saya pernah membangkitkan isu pasal double/triple parking ini di beberapa laman sosial dan respons yang diterima hanyalah berbentuk sindiran. Contohnya, ada beruk beragama Melayu yang kata saya ni nak pergi ke masjid lambat tapi bila nak balik dari masjid tak sabar nak balik cepat.

Agama Melayu sahaja yang menghalalkan double/triple parking sampai orang lain tak boleh nak keluar kan?

Kenapa tidak sahaja golongan yang hatinya melekat pada masjid ini untuk datang awal, ambil tempat parking yang sempurna supaya tidak mengganggu orang lain yang mungkin ada perkara yang ingin dilakukan dengan pantas sebaik selesai waktu solat Jumaat.

Jawapannya, kerana dalam agama Melayu, orang yang melengah-lengahkan meninggalkan masjid itu memiliki kemuliaan yang lebih dan mereka berhak untuk menghalang laluan, kerana mereka ini golongan yang dipilih Tuhan.

Menulis tentang penganut agama Melayu ini mengurangkan pahala puasa dan mengundang kemarahan dalam diri.

Tuesday, April 30, 2013

Isu Gaji Minimum

Sekali sekala jom kita bercakap tentang isu yang di luar dari politik. Tak boleh nak 100% bebas politik sebab politik sentiasa mempengaruhi kehidupan kita. Pendidikan kita sistemnya dibentuk oleh politik. Ekonomi kita dibentuk oleh politik. Bahkan bil air dan elektrik di rumah kita pun ditetapkan nilainya oleh orang politik.

Golongan yang berbangga sebab depa "don't give a damn about politics" adalah si naif (ignorant?) yang bakal lemas dek kejahilannya satu hari nanti. Ambil tahu tak salah, cuma jangan fanatik kepartian sampai tak boleh nak bezakan kebenaran dengan kepalsuan.

Pagi tadi sewaktu menyinggah ke Facebook, saya terbaca satu tulisan pasal isu gaji minima. Tujuan tulisan di sini adalah untuk menyanggah kesilapan atau kekeliruan dalam tulisan tersebut. Tulisan itu boleh dibaca di sini dan sini.

Secara peribadinya, adakah saya merasakan bahawa gaji minima perlu di Malaysia? 

Saya berpendapat, dalam sistem ekonomi yang benar-benar bebas, gaji minima tidak diperlukan. 

Persoalannya, adakah sistem ekonomi di Malaysia benar-benar bebas? 

Adakah barang keperluan harian seperti beras dan gula dibuka pasarannya untuk semua pihak berniaga? 

Adakah harga kereta di Malaysia benar-benar mengikut harga pasaran?

Jawapan kepada semua persoalan tadi adalah TIDAK. Oleh kerana itu saya beranggapan bahawa perlaksanaan gaji minima masih lagi diperlukan di Malaysia.

Baiklah, sekarang mari kita menjawab 'hujah' demi 'hujah' yang ditimbulkan oleh penulis.

Ahli politik adalah individu-individu yang mereka sangka mereka mengenali masyarakat dan tahu apa yang baik dan apa yang buruk untuk mereka. Selain itu, mereka juga sangat pakar dan mahir dalam ilmu untuk memperdaya rakyat dalam menerima sesuatu perkara yang mereka mahukan ke atas rakyat.
Dari situ berlumba-lumbalah ahli politik dari kerajaan dan pembangkang untuk memperkenalkan gaji minimum pekerja. Kemahuan golongan persatuan pekerja ini tidak dilayan pada zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir kerana beliau mungkin tahu baik buruk polisi ini.

Zaman pemerintahan Mahathir sememangnya menolak dasar gaji minima. Bahkan kesatuan sekerja dalam bidang elektronik tidak dibenarkan untuk bergiat aktif. Ada aktivis kesatuan sekerja yang ditahan di bawah ISA kerana mendesak perlaksaan gaji minimum.

Kenapa hal sedemikian berlaku? Apabila gaji pekerja dalam sektor pembuatan elektronik murah, banyak pelaburan yang bakal diterima dari luar. Namun demikian, walaupun negara menerima pelaburan yang tinggi, tapi buruh kita berdepan dengan masalah kekangan gaji. Gaji tersangkut dan tidak bergerak.

Masih ada yang mahu diperintah dengan 'cara' Mahathir?
Jika benar kerajaan dapat meningkatkan pendapatan golongan miskin dengan menetapkan gaji minimum, kenapa kerajaan tidak hanya menetapkan gaji minimum ini kepada RM 5000 sahaja. Dengan mudah semua buruh akan mendapat gaji tinggi dan semua orang pun akan gembira.
Bagaimana gaji meningkat ? Gaji meningkat apabila produktiviti per kapita setiap rakyat di sesebuah negara itu meningkat. Apabila produktiviti meningkat, pendapatan meningkat, perniagaan berkembang dan seterusnya gaji pekerja akan meningkat dan ini meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan.
Saya tidak mahu menjawab persoalan yang ditimbulkan dalam 'hujah' di atas kerana ianya seolah-olah di salin dan tampal dari buku teks ekonomi sekolah menengah.

Kadar kenaikan gaji di Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ini. Berdasarkan logik si penulis, adakah fakta ini mengimplikasikan bahawa pekerja di Malaysia adalah yang paling malas di rantau ini?

Jika buah epal dijual dengan harga RM 1.00 meningkat kepada RM 2.00. Secara logik mudah, orang akan kurang membeli buah epal. Ini juga yang akan terjadi kepada pasaran buruh di sesebuah negara apabila kerajaan menetapkan gaji minimum.
Jika saya mempunyai 10 orang pekerja. Penetapan gaji minimum mungkin hanya mempunya kesan kepada 2 orang daripada pekerja saya. Tetapi peningkatan ini akan mengakibatkan saya untuk menaikkan gaji bagi kesemua pekerja saya. Tidak mungkin pekerja yang sudah 5 tahun bekerja dengan saya akan bersetuju dengan gaji pekerja yang baru masuk kerja bulan lepas.
Itu yang pertama, yang keduanya saya sebagai pemilik perniagaan akan memilih untuk mengurangkan penggunaan pekerja sebagai langkah untuk berjimat supaya saya tidak rugi dalam perniagaan yang saya sedang ceburi.
Dalam isu harga epal tersebut, orang memberikan hujahan yang serupa tentang kewujudan pasaraya. Kononnya kewujudan pasaraya yang menjual barangan dengan harga murah mengakibatkan kedai runcit kecil gulung tikar akibat tertewas dalam persaingan harga.

Adakah hal tersebut berlaku? Benar, mungkin kedai runcit kecil menghadapi masalah dari segi persaingan harga. Namun, kedai runcit kecil masih berupaya bertahan atas beberapa faktor. Layanan pelanggan yang lebih akrab dan mempunyai sentuhan peribadi misalnya. Dalam banyak keadaan, api lawannya bukan api, tapi air. Atau pasir. Atau buih. 
Apabila peniaga mengurangkan bilangan pekerja kerana tidak mampu membayar gaji minimum. Golongan buruh bawahan ini tidak akan mendapat sebarang kerja dan ini akan meningkatkan pengangguran dikalangan masyarakat.
Seperti yang anda sudah ketahui, peningkatan pengangguran akan menyebabkan kadar jenayah juga meningkat.
Sekali lagi, penulis berdepan dengan masalah untuk memahami konsep sebab dan akibat. Hujahnya terlalu simplistik. Peniaga kurangkan pekerja, pekerja menganggur, seterusnya kadar jenayah meningkat. Semudah itu?

Oh, mungkinkah politikus, penjawat awam dan pihak berkuasa di Malaysia ini mengambil rasuah kerana mereka menganggur?

Atau mungkinkah selama ini kadar jenayah yang tinggi berlaku di Malaysia akibat dasar gaji minima walaupun ketika itu gaji minima belum lagi dilaksanakan?

Saya kenal penulis ini secara peribadi. Saya rasa kehidupan beliau cukup mewah. Isterinya orang Rusia. Menggunakan alasan "tidak mampu untuk membayar gaji pekerja kerana tidak ada untung" bagi saya adalah satu hujah yang hipokrit dan agak menipu. Sila beritahu itu kepada isteri Rusia anda.
Penetapan gaji minimum akan menyebabkan peningkatan harga barang. Manakan tidak, kos pembuatan sesebuah barangan itu telah meningkat jadi sudah tentu kos ini akan digilirkan kepada pelanggan yang akan membeli sesebuah produk.
Dengan itu akan berlaku peningkatan harga barang serta peningkatan kadar inflasi. Ini akan menyebabkan semua orang terutamanya pengguna terpaksa menanggung kerugian
Dalam pasaran bebas, harga barangan dan gaji pekerja tidak seharusnya ditetapkan oleh sesiapa samada ahli politik atau kerajaan. Ianya seharusnya dibiarkan terapung dan bebas.
Pernah dalam satu pertikaian pada zaman Rasulullah, baginda dipanggil untuk menetapkan harga roti di pasar. Baginda bersabda
“Aku tidak mahu darah mereka ini di tangan aku di akhirat nanti”
(“An Islamic economic system largely supports a market mechanism for coordination of economic activity. This is based on a hadith reported by Ibn Majah and Tirmidhi on bread prices in Medina where the Prophet refused to intervene to set prices (of wheat) saying, “I don‟t want to have the blood of these men on my hands in the hereafter” because there was a shortage due to natural causes (drought).”)
Ini dengan jelas menunjukkan Islam sendiri mengakui dan mengesahkan pasaran terbuka sebagai satu mekanisme yang terbaik dalam pemerintahan dan hal-ehwal perniagaan dalam sesebuah negara.
Tidak banyak yang kita dapat buat sekarang. Polisi ini tidak akan ditarikbalik dalam masa terdekat dan Pakatan Rakyat juga sedang berjuang untuk meningkatkan lagi gaji minimum dalam manisfesto mereka.
Nyata kita telah terperangkap dikalangan kedua-dua ahli politik kerajaan dan pembangkang yang mengejar undi tetapi secara bodoh sanggup menggadai masa depan ekonomi negara kita.
Sekali lagi, kesilapan dalam penghujahan beliau adalah apabila beliau menganggap pasaran di Malaysia adalah bersifat bebas. 

Pasaran di Malaysia tidak bebas. Gula kita dimonopoli oleh satu pihak. Beras juga sama. Kereta kita tidak diletakkan pada harga pasaran sebenar. Bahkan jalur lebar talian tetap pun dimonopoli oleh satu pihak.

Adakah hanya kerana beliau meletakkan kisah zaman nabi maka hujah beliau tidak lagi boleh dipersoalkan? Saya tidak pasti. Barangkali beliau beranggapan begitu.

Kesimpulan saya, selagi pasaran ekonomi di Malaysia belum benar-benar bebas dalam ertikata bebas sepenuhnya, dasar gaji minima masih lagi salah satu cadangan yang sesuai untuk merapatkan jurang ekonomi di negara ini.

Biasanya yang merungut ini adalah majikan kaya raya yang setiap tahun bertukar kereta mewah, tapi tak sanggup untuk memberikan gaji yang mampu beri kehidupan selesa pada manusia lain.

Berhentilah bersifat pentingkan diri.

Thursday, April 25, 2013

Kenapa Melayu-Muslim Perlu Mengundi Pakatan Rakyat?

Salah satu kerisauan terbesar bangsa Melayu (yang secara perlembagaan juga adalah Muslim) di Malaysia dalam pilihanraya adalah bila mereka dimomokkan dengan idea bahawa kuasa Melayu di negara ini akan terhakis.

Dalam pilihanraya kali ini, di peringkat parlimen, Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan 133 orang calon berbangsa Melayu (termasuklah Jawa, Mamak, Mendeling dan sebagainya). Pakatan Rakyat (PR) pula mempertaruhkan 145 orang calon berbangsa Melayu.

Dari segi angka, mana lebih besar? 133 atau 145? Sudah pastilah 145. Atas logik angka tersebut, kita dapat membuat rumusan bahawa kuasa Melayu akan lebih kuat kalau kita menyokong Pakatan Rakyat. Tulisan ini sudah tamat.

Sekian.

Kenapa anda masih membaca? Artikel ini sudah tamat.

Ada yang kata, analisa sedemikian begitu simplistik. 

Baiklah, kalau analisa angka sebegini dianggap simplistik, mengapa ada orang Melayu yang begitu mudah untuk bersetuju bila akhbar dan TV membuat rumusan simplistik dengan menyatakan bahawa kuasa Melayu akan terhakis bila PR memegang tampuk kuasa?

Dalam kempen PRU13 ini, banyak jenis kempen berbau perkauman yang dapat kita perhatikan. Macam macam dongeng dan karut marut timbul dari kepala otak manusia yang sentiasa mahu mengapi-apikan bara perkauman.

Ada yang kata bila PR menang, agama rasmi akan ditukar kepada agama Islam. Mahu tipu siapa? Penganut Kristian di Malaysia tidak sampai 12% mengikut angka terakhir yang saya baca. Bagaimana mungkin agama rasmi Malaysia ini akan bertukar kepada penganut yang tidak sampai 12% dari penduduk Malaysia?

Kalau ada yang boleh percaya dengan hujah simplistik 12% penganut boleh tukar Kristian jadi agama rasmi Malaysia, kenapa ada yang tidak percaya bila saya kata 142 calon Melayu bakal memastikan kuasa Melayu di Malaysia menjadi bertambah kuat?

Ada banyak lagi dongeng tentang PR yang disebarkan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan ketakutan kepada PR sekaligus menjauhkan undi dari mereka. Untuk huraian yang lebih baik tentang isu ini, anda boleh baca tulisan pengamal undang-undang, Encik Syahredzan Johan di sini.

Saya tidak suka berhujah dari sudut pandang perkauman kerana perkauman adalah satu hujah yang dangkal dan mudah dipatahkan. Namun saya juga memahami situasi real-politik di Malaysia yang mana komposisi kaum masih lagi relevan. Memahami kerisauan Melayu-Muslim Malaysia tentang isu inilah maka saya menjawab ketakutan tersebut dengan rasional angka.

Tujuan saya menulis hanyalah untuk menolak fundamental dan asas hujahan BN yang mengatakan bahawa kuasa Melayu dan nilai nilai Islam akan terhakis jika PR memegang tampuk kekuasaan.

Kalau ada yang berhujah sebegini di depan mata anda, cukup sekadar anda tanyakan, antara 145 dengan 133, mana lebih banyak?

Akhir kata, mengundilah dengan bijak. Jika anda mahu kuasa Melayu lebih kuat dan terjamin di Malaysia, undilah pihak yang menawarkan lebih banyak calon Melayu, iaitu PR.

p/s: Antara 133 dengan 145, mana lebih banyak?

Friday, April 19, 2013

Perkauman: Isu Tanpa Penyudah?

Esok hari penamaan calon. Apa yang menarik mahu ditulis tentang itu? Tiada. Kecuali isu tentang kemungkinan DAP terpaksa menggunakan logo PAS dan PKR untuk bertanding.

Kesampingkan seketika isu politik. Mari kita berbicara tentang isu perkauman. Mana permulaan dan mana penghujungnya?

Perkauman ini sudahpun bermula sejak zaman moyang kita Adam masih bermastautin di dalam syurga. Ketika Allah memerintahkan iblis untuk tunduk/sujud kepada Adam, iblis menolak dengan alasan Adam dijadikan dari tanah kotor manakala iblis diciptakan dari api.

Ya, itulah titik mula kepada isu perkauman yang melanda umat manusia. Perbezaan warna kulit dan asal kejadian.

Harus diakui, saya terdidik dalam persekitaran yang hampir 100% Melayu. Ketika memasuki usia 10 tahun, saya berpindah ke kawasan yang ada sedikit bangsa bukan Melayu. Tapi secara keseluruhannya masih lagi 99.95% Melayu.

Masuk ke sekolah menengah, saya memasuki sekolah berasrama penuh. Hampir kesemuanya Melayu juga. 

Masuk ke matrikulasi, juga 100% Melayu. Masuk ke universiti barulah merasa melihat Melayu bukan lagi kaum dominan.

Sebelum ini saya tidak pernah melihat bukan Melayu sebagai satu ancaman. Saya tidak pernah ada kebimbangan terhadap bangsa lain.

Saya pergi ke sekolah rendah dulu dengan menaiki bas buruk Ah Seng. Di sekolah berkawan dengan rakan-rakan dari bangsa lain. Tidak pernah sekali pun pada waktu itu saya terfikir bahawa mereka lebih rendah atau lebih tinggi tarafnya berbanding saya.

Benar, warna kulit kami berbeza. Mata kami ada yang bulat dan ada yang sepet. Tapi itulah kepelbagaian.

Waktu bilakah baru saya mula terdidik dengan perkauman yang berasaskan kebencian?

Saya tidak ingat tarikh dan masanya yang tepat. Tapi yang saya pasti, sebaik sahaja DAP memenangi kerusi parlimen dan DUN yang banyak pada PRU ke 12 (8 Mac 2008), barulah media arus perdana mula menyemarakkan kebencian kepada kaum Tionghua.

Benar, setiap bangsa ada diberikan generalisasi tertentu. Sebagai contoh, Melayu pemalas, Cina kaki tipu dan India kaki botol. Tapi adakah perkara tersebut benar? Kalau benar, adakah ia berlaku akibat pengaruh genetik atau kerana segmentasi (pecah dan perintah) yang dilakukan oleh British dan kerajaan sebelum ini?

Mampukah kita keluar dari kepompong perkauman ini? Sampai bilakah kita mahu dimomokkan dengan kebimbangan bahawa kaum lain cuba untuk menakluk Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai Singapura kedua?

Yang lebih menyedihkan bila ada yang cuba menjustifikasikan sifat perkauman mereka dengan alasan agama. Perhatikan cubaan Dr Ridhuan Tee Abdullah yang cuba untuk menjadi lebih Melayu dari Melayu dengan mencerca bangsa dan penganut agama lain. Katanya atas nama Islam.

Apa kata kita renungkan pula kepada ISMA atau Arus Baru yang cuba mewujudkan slogan "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat" sebagai solekan untuk menutup sifat perkauman. Barangkali mereka lupa bahawa orang Cina dan India terlebih dulu menerima Islam sebelum Islam sampai ke tanah Nusantara.

Kewujudan PERKASA yang kononnya untuk membela nasib Melayu menambahkan lagi keretakan sesama bangsa dan kaum di Malaysia. Adakah PERKASA ini tidak mendapat sokongan pemerintah? Kalau tak dapat, masakan Naib Presidennya, Zulkifli Noordin dilantik menjadi calon Barisan Nasional di Shah Alam? Kalau tidak disokong, mana mungkin Mahathir, Rosmah dan Najib sanggup menghadiri majlis yang dianjurkan PERKASA?

Secara peribadinya, saya sedih melihat keadaan sebegini. Saya cuma mengharapkan bahawa orang Malaysia dapat hidup sebagai satu komuniti tanpa ada syak wasangka dan kebimbangan yang tidak berasas tentang bangsa lain.

Kenapa saya menulis tentang perkauman dari perspektif bangsa Melayu? Sebab saya Melayu dan saya mengetahui psyche bangsa Melayu. Bangsa lain mungkin ada juga sifat perkauman mereka yang tersendiri, tapi saya tidak tahu kerana saya bukan bangsa tersebut.

Pilihanraya semakin hampir. Moga bangsa Malaysia tidak terpengaruh dengan momokan perkauman yang dibenci Tuhan dan Nabi SAW. Harapnya agar pilihanraya kali ini berjalan lancar tanpa rakyat Malaysia terpengaruh dengan provokasi berbau perkauman.

Kepada Allah kita berserah.